MIRI: Pembinaan Projek Sabah-Sarawak Link Road (SSLR) Fasa Dua dan Tiga yang menghubungkan Sabah dan Sarawak tanpa perlu melalui Brunei kini dalam proses pengurusan dan penilaian harga.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selepas selesai proses itu kelak, projek itu akan dibawa untuk proses tender.
Katanya, fasa pertama projek tersebut yang bermula dari Lawas sehingga ke Pa Berunut sudahpun bermula.
“Saya telah diberikan amanah oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk membantu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk memastikan pembangunan infrastruktur di Sarawak ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Fadillah berkata demikian semasa majlis Peng Lamei Ledoh Pahu Kayan 2023 yang diadakan sebagai tanda kesyukuran tamatnya musim menuai yang dianjurkan Persatuan Kayan Sarawak di sini Sabtu malam.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata bagi Fasa Dua projek Pan Borneo yang menghubungkan Miri dengan Limbang dan seterusnya Lawas dengan melalui Brunei akan dapat dilaksanakan pada penggal ini.
Menurutnya kependudukan yang jarang di kawasan terpencil di Sarawak menjadi cabaran kerana mengikut dasar rancangan pembangunan kerajaan Persekutuan, tumpuan pembangunan adalah di kawasan yang mempunyai penduduk yang padat.
Ini menyebabkan kawasan tersebut ketinggalan jauh di belakang dari segi pembangunan namun kerajaan telah mulai memberikan tumpuan yang serius terhadap pembangunan di Sarawak.
Di peringkat negeri Sarawak katanya beberapa pihak berkuasa pembangunan wilayah telah ditubuhkan yang dilihat dapat melaksanakan pembangunan jalan penghubung yang dapat menghubungkan Pan Borneo dengan jalan pesisir pantai.
“Maknanya jalan-jalan balak akan dinaik taraf dan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan infrastruktur perhubungan di Sarawak ini,” katanya sambil menambah bahawa setiap projek yang dilaksana tidak lari daripada berdepan pelbagai cabaran seperti jumlah kontraktor dan juga bahan binaan.
Pada masa yang sama beliau menyeru supaya pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Sarawak di dalam mengadakan program yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran modal insan di negeri itu.– BERNAMA