Projek Rumah Mesra SMJ di Sukau masih banyak terbengkalai

Naim.jpg

Mohd Kurniawan

Kongsi Bersama

KINABATANGAN: Projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau masih banyak terbengkalai dan belum disiapkan walaupun sudah memasuki tahun 2025.

Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, difahamkan hanya enam unit sahaja yang berjaya disiapkan daripada kuota yang diperuntukkan tahun lepas.

Katanya, lebih mengecewakan kontrak pembinaan telah dilanjutkan sebanyak tiga kali dan dijadualkan tamat pada Febuari tahun ini, namun sehingga kini tiada tanda kerja-kerja pembinaan dimulakan.

“Saya turut mendapat maklumat bahawa pemohon perlu menanggung sendiri kos meluaskan tapak pembinaan rumah berkenaan yang menelan belanja ribuan ringgit,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, jika kontraktor yang dilantik masih gagal menyelesaikan projek ini dalam tempoh lanjutan terakhir, laporan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat.

“Kontraktor diberi tempoh sehingga tamatnya kontrak lanjutan kali ketiga ini. Jika masih gagal, saya sendiri akan datang ke Pejabat SPRM untuk memastikan mereka diadili.

“Saya mengajak Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sukau untuk bersama-sama membuat laporan kepada SPRM sekiranya yakin tiada penyelewengan berlaku.

“Sebagai pemimpin, kita perlu bertindak berani dan telus. Jangan banyak bercakap tetapi tiada hasil kerana rakyat di Sukau tidak patut terus dianiaya,” katanya.

Selain itu, Mohd Kurniawan berkata, kemudahan tandas awam di Kampung Bilit, di sini juga masih belum di baiki walaupun sudah lama rosak.

“Saya ada melihat satu video daripada salah seorang pemimpin di Sukau pada awal tahun lepas yang menyalahkan wakil rakyat Sukau berhubung isu tandas awam di kampung berkenaan yang rosak.

“Sebenarnya tidak wajar menyalahkan wakil rakyat kerana kemudahan berkenaan sudah disediakan sebelum ini dan isu kerosakan itu perlu diselesaikan bersama bukannya hanya tuding jari sahaja,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga dilihat masih gagal menyalurkan peruntukan kepada pemimpin kerajaan di Sukau terutamanya membaiki kemudahan tandas berkenaan.

“Jangan hanya selalu merungut dan menyalahkan Barisan Nasional (BN) sahaja kerana parti ini adalah pembangkang di Sabah.

“Justeru, saya menyeru semua pihak berkaitan segera tampil memberikan penjelasan dan menyelesaikan masalah ini demi kesejahteraan rakyat di DUN Sukau,” katanya. – Utusan Borneo

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top