Projek Pan Borneo di Sabah akan disegerakan – PM

DSAI.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah akan disegerakan susulan kemajuan projek itu amat perlahan berbanding di Sarawak.

Sehubungan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyegerakan pembinaan bagi memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak tertangguh, sekali gus memenuhi janji kepada rakyat negeri terlibat.

Selain itu beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof juga ditugaskan untuk menyelia perkembangan projek tersebut.

“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk ‘fast track’ (disegerakan). Asalkan ada proses perolehan dan tender, kita lakukan ‘fast track’ terutama di Sabah.

“Ini disebabkan projek Pan Borneo sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Oleh kerana kita sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk lengahkan.

“Malah ketika Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong ( Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) perkara yang dibangkitkan setiap kali baginda berhenti di mana-mana pusat adalah mengenai Pan Borneo lebih bermasalah di Sabah dan keduanya, jalan yang teruk.

“Kadang-kadang, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah berbanding di Sarawak yang sudah hampir siap, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top