Projek Naik Taraf Jalan Terian, Penampang Dijadual Dilaksana November 2021

jalan-terian-penampang.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Projek naik taraf Jalan Terian, Penampang, Sabah dengan kos RM102 juta yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dijadual dilaksanakan pada November 2021.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui jawapan bertulis yang dipaparkan di laman rasmi Parlimen memaklumkan status projek berkenaan kini di peringkat lantikan perunding.

Keadaan jalan ke Kampung Terian, Penampang yang pernah tular di media sosial sebelum ini.

“Ia melibatkan skop naik taraf jalan sepanjang 17 kilometer,” menurut kementerian berkenaan bagi menjawab soalan Datuk Ignatius Darell Leiking (Warisan-Penampang) yang ingin tahu status projek berkenaan.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam jawapan bertulisnya memaklumkan kerajaan telah meluluskan 13 projek pembinaan sekolah baharu dan 237 projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif dalam RMK11.

Bagi projek pembinaan sekolah baharu, sebanyak tiga sekolah berada pada fasa pembinaan dan 10 sekolah lagi berada pada fasa prabina sehingga 6 Nov lepas.

“Bagi projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah yang mempunyai bangunan daif, sebanyak 150 sekolah telah siap, 22 sekolah masih dalam pembinaan dan baki sebanyak 65 sekolah masih dalam fasa prabina,” menurut KPM.

Maklumat itu bagi menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang ingin mendapat pencerahan mengenai jumlah sekolah baharu yang dibina dan sekolah daif di Sabah yang ditambah baik di bawah RMK11 yang telah siap dan dibaiki sepenuhnya berbanding jumlah asal yang dirancang.

KPM turut memaklumkan sentiasa memberi perhatian kepada usaha menyediakan fasiliti bangunan dan kemudahan sekolah yang dapat berfungsi dengan baik bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran di sekolah dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat dan selesa. – BERNAMA


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top