KOTA KINABALU: Projek menaik taraf Jalan Sinaron di Sook, Keningau ke Linayukan di Tongod akan menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan menggalakkan sektor pertanian serta pelancongan setempat di sepanjang jajaran jalan berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata jajaran jalan sepanjang 40 kilometer itu akan merentasi Keningau, Tongod, Pensiangan dan Kinabatangan.
Beliau berkata projek bernilai RM320 juta yang dijadual dilaksanakan bulan ini dan siap dalam tempoh tiga tahun tersebut akan memberikan impak ekonomi secara keseluruhannya serta dapat dinikmati penduduk khususnya di Keningau, Sook dan Tongod.
“Ini sekali gus dapat meningkatkan taraf sosial ekonomi penduduk kampung yang tinggal di sepanjang jajaran jalan tersebut. Selain itu, kerja-kerja menaik taraf jalan kepada jalan berturap itu juga akan mengurangkan kos penyelenggaraan rutin jalan yang ditanggung oleh kerajaan.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur jalan raya yang lebih baik bagi menghubungkan antara kawasan di pedalaman Sabah supaya pembangunan yang lebih seimbang akan dinikmati oleh semua rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Arthur berkata projek naik taraf jalan berkenaan telah diluluskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di bawah Pelan Pusingan Kedua Rancangan Malaysia Ke-11 namun tergendala selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun 2018.
“Projek ini sekarang disambung semula dalam Rancangan Malaysia Ke-12. Projek berkenaan termasuk pembinaan tujuh jambatan baharu menghubungkan Sook ke Tongod melalui Kampung Monggorimot, Lalampas dan Linayukan.
“Pembinaan jalan itu juga akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar 19 kampung seperti Sinaron, Sinaron Tengah, Sinua, Mansiat, Lalapakon, Widudun, Maliau, Bibilod, dan kampung Langkabong,” katanya. – Borneo Today