KENINGAU: Kerja menaik taraf Jalan Sapulut ke Pekan Pagalungan dalam kawasan Parlimen P.182 Pensiangan telah mula dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, dengan kerja-kerja menaik taraf jalan ini, jarak perjalanan dari Sapulut ke Pekan Pagalungan akan dapat disingkatkan dari 3 jam kepada 1 jam.
“Pastinya ia akan memberikan kegembiraan kepada ibu bapa dan guru kerana usaha ini pasti akan memudahkan urusan persekolahan anak-anak selepas ini,” katanya.
Ahli Parlimen Pensiangan itu juga sedang dalam usaha untuk menaik taraf beberapa buah sekolah daif di kawasan Parlimen Pensiangan, antaranya SK Pekan Nabawan, SK Pekan Pensiangan, SK Sepulot, SK Ponontomon dan banyak lagi.
“Ini bagi memastikan para pelajar serta guru mendapat kemudahan dan fasiliti yang lebih selesa.
“Tugas dan tanggungjawab kita adalah untuk menyediakan yang terbaik agar generasi yang cemerlang dapat dilahirkan demi pembinaan sebuah budaya bangsa.
“Kecemerlangan yang dikecapi hari ini pastinya akan membuahkan hasil untuk membawa perubahan terhadap ekonomi dan sosial masyarakat kita,” katanya di majlis penyampaian sumbangan pendidikan kepada pelajar cemerlang di kawasan parlimen tersebut di Hotel Perkasa sini pada Jumaat.
Seramai 100 orang pelajar di kawasan Parlimen Pensiangan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) telah menerima sumbangan tersebut.
Menurut Arthur, ini merupakan program tahunan yang telah diadakan sejak 11 tahun yang lalu.
“Dalam tempoh ini pelbagai pendekatan telah saya laksanakan contohnya seperti bantuan yuran pengajian, biasiswa pendidikan, bantuan pakaian serta peralatan sekolah dan sebagainya”.
“Program sebegini akan diteruskan pada setiap tahun sebagai motivasi kepada pelajar untuk mereka terus berusaha.
“Saya mengambil tanggungjawab untuk menyediakan yang terbaik demi masa depan anak-anak Pensiangan.
“Bagi mengatasi masalah capaian internet di kawasan Parlimen Pensiangan, sebanyak 46 menara telekomunikasi yang baharu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022,” katanya.
Tambahnya, apabila menara ini siap kelak, penduduk akan dapat menikmati rangkaian telekomunikasi yang lebih baik serta akses kepada capaian internet yang lebih pantas