PENAMPANG: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) diminta membuat keputusan segera berhubung pemberhentian projek naik taraf bumbung di kawasan terbuka berhampiran Buhavan Square di pekan Donggongon di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, ramai dalam kalangan pemilik kedai di kawasan berkenaan melahirkan rasa kecewa apabila projek naik taraf itu dihentikan
Beliau yang juga Ketua Wanita DAP Sabah berkata, sebelum ini projek terbabit ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19 dan kerja-kerja naik taraf terpaksa dihentikan.
Namun jelasnya, selepas empat bulan ditangguhkan, para pemilik premis yang terjejas perniagaan ternyata begitu kecewa apabila projek itu dihentikan.
“Saya dimaklumkan oleh Pegawai Daerah Penampang Henry Idol mengenai pemberhentian projek ini yang masih belum ada keputusan rasmi daripada pihak KKTP.
“Bagaimanapun, beliau (Henry) berharap pihak KKTP dapat menyelesaikan sebarang isu perundangan yang berkaitan dengan projek ini dan memberi kebenaran kepada Majlis Daerah untuk meneruskan projek naik taraf bumbung berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan dengan pemilik premis perniagaan sekitar pekan Donggongon di sini.
Terdahulu, Jannie bersama petugas Pejabat Perhubungan ADUN Kapayan turut meluangkan masa mengedarkan kalendar dan produk jem kaya di beberapa lokasi termasuk pekan Donggongon dan Beverly Hills Commercial Center.
Jannie berkata, setiap aduan dan keluhan rakyat sentiasa diberi perhatian dan keutamaan termasuk isu projek naik taraf bumbung yang dihentikan dan menjejaskan ramai peniaga.
Dalam pada itu, beliau berkata, kebanyakan peniaga di Tamu Sangadau berpuas hati dengan bekalan lampu solar yang dipasang tahun lalu melalui dana ADUN Kapayan.
Semasa lawatan itu, sebanyak 300 jem kaya diedarkan hasil sumbangan pengusaha tempatan yang menyediakan kira-kira 10,000 jem kaya untuk disumbangkan kepada penerima.
Katanya, selain kawasan Kapayan, program lawatan itu akan diteruskan ke beberapa lokasi antaranya Penampang Baru, Taman Suria dan Bundusan, Towering dan Millenium, Cybercity dan Kepayan Perdana, serta Kepayan Square.
Menurutnya, program berkenaan juga akan merangkumi beberapa kawasan perumahan dan perkampungan termasuk di Hungab, Koidupan, Kobusak, Tunoh, Nagasiba, Nosoob Baru, Mogoputi, Peringatan, Ganang, Sodomon, Kapazan, Baru Luyang, dan Damai.