KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mencatat kemajuan sekitar 52 peratus, setakat Oktober lalu.
Ia membabitkan pelaksanaan fasa satu sepanjang 706 kilometer dan 15 pakej kerja yang kini dalam pembinaan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Ir. Ali Ahmad Hamid berkata, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah merupakan pemangkin utama kemakmuran ekonomi jangka panjang negeri ini.
Selain memantapkan jaringan perhubungan darat, ia turut melonjakkan aktiviti ekonomi lain, seperti pemasaran hasil produk pertanian serta menggalakkan pembangunan produk pelancongan.
“Lebuhraya ini bakal menjadi katalis dalam pembangunan ekonomi. Kita percaya dengan adanya lebuhraya dengan rangkaian yang baik sudah pasti ekonomi akan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Tambahnya, akses perhubungan darat yang cekap juga merangsang pembangunan dan pertumbuhan lebih banyak kawasan ekonomi sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan. –Warta Oriental