Projek Lebuhraya Pan Borneo: Harap rakyat Sabah, Sarawak bersabar – Nanta

Pan-Borneo.jpg

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meninjau lokasi projek Menaiktaraf Bulatan Pujut 3 Kepada Persimpangan Lampu Isyarat di Miri/Foto Facebook Alexander Nanta

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Memastikan pembinaan lebuhraya Pan Borneo dapat dijayakan dengan sempurna, baik di Sabah dan Sarawak bukanlah satu usaha mudah, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, banyak kekangan yang harus dihadapi di kedua-dua negeri, terutamanya melibatkan faktor keadaan muka bumi, jarak dan sebagainya.

Beliau berkata, beberapa perkara yang harus dikongsi dengan rakyat di kedua-dua negeri itu mengenai perkembangan terkini kerja pembinaan lebuhraya Pan Borneo.

“Susulan daripada kegagalan cerun dan pergerakan tanah yang berlaku pada 4 Disember 2018, jalan sedia ada sedang dibina semula kepada viaduct sepanjang 301 m dengan kos berjumlah RM60 juta.

“Jangkaan siap adalah pada suku ke-4 tahun 2025. Status pembinaan terkini adalah 0.46 peratus siap,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Di samping itu juga menurut beliau, jajaran bagi Seksyen Lambir juga akan melalui jajaran paip utama bekalan air oleh Lembaga Air Kawasan Utara (LAKU).

Katanya, kini JKR Sarawak sedang berusaha untuk mengenal pasti opsyen-opsyen yang boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan bekalan air kepada penduduk setempat.

Menjelas lebih lanjut, Nanta berkata kualiti redline yang merupakan laluan asal sedia ada sebelum pembinaan lebuhraya Pan Borneo juga perlu dinaik taraf.

“Standard laluan redline ini yang dibina dahulu tidak menyamai standard ditetapkan di bawah pembinaan baru Lebuhraya Pan Borneo.

“Kualiti di laluan redline ini perlu dinaik taraf supaya mengikut standard sama di semua sebelas pakej kontrak kerja (WPC) Pan Borneo yang diluluskan,” jelas beliau.

Jajaran laluan asal itu meliputi kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Atas sebab itu, saya memohon kepada semua pengguna jalan raya untuk bersabar bagi pihak kementerian memastikan pembinaan lebuhraya Pan Borneo ini dapat disempurnakan dengan lengkap dan selamat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Kerja Raya berusaha untuk menyelenggara jalan-jalan Persekutuan di Sarawak dengan memohon lebih banyak peruntukan bagi merealisasikan hasrat itu.

Katanya, kerajaan pusat telah menambah peruntukan kerja berkala bagi Sarawak pada akhir tahun kepada RM105.9 juta agar dapat melaksanakan projek jajaran itu pada tahun ini.

Peruntukan itu bagi tujuan penyelenggaraan sebahagian daripada jalan terbabit yang sudah berusia serta melepasi tempoh selenggaraan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top