Projek Lebuhraya Pan Borneo diberi perhatian serius supaya siap ikut jadual – Ahmad Maslan

mat-maslan.jpg

Ahmad (tengah) hadir pada Majlis Pelancaran Hibrid Baharu Nanas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Stesen MARDI di Pontian semalam. - Foto Bernama

Kongsi Bersama

PONTIAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah diberi perhatian serius supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak sudah selesai pada pertengahan tahun ini dan akan dibuka pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata pergerakan projek itu di Sabah pula agak lambat kerana terdapat beberapa isu tempatan serta masalah teknikal.

“Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dijangka selesai dengan penganugerahan tender pada suku pertama tahun depan.

“Justeru, saya akan pastikan projek prasanana untuk rakyat Sabah (termasuk) yang membabitkan Lebuhraya Pan Borneo di negeri itu akan dipercepat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Hibrid Baharu Nanas Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Stesen MARDI di sini semalam.

Ahmad berkata KKR juga akan memastikan pelaksanaan setiap projek pembangunan akan dipercepat sebagaimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata Perdana Menteri sudah memberi peringatan kepada semua kementerian termasuk KKR dan berharap pelaksanaan projek pembangunan rakyat yang disenarai akan dipercepat.

“Dengan perkataan lain, beliau ingin saya membantu mempercepat pelaksanaan projek pembangunan yang melibatkan KKR,” katanya.

Pada 7 Dis lepas, Anwar meminta agar pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuhraya Pan Borneo dipercepat tanpa sebarang alasan lagi.

Ini kerana terdapat projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di negeri itu tertangguh antaranya Empangan Hidroelektrik Ulu Padas. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top