Projek Hospital Tawau 69% Siap

hospital-tawau.jpg

Bangunan baharu Hospital Tawau ketika dalam pembinaan. Kini pada dasarnya ia telah siap dan dijangka mula beroperasi tahun depan.

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Projek pembinaan dan naik taraf Hospital Tawau sudah 69 peratus siap setakat 31 Januari tahun ini berbanding jadual 96 peratus, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew yang ingin mengetahui perkembangan kerja dan sama ada projek itu akan disiapkan tahun ini kerana ia tidak mengikut jadual.

Ia sepatutnya siap pada Mei 2020 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11, 2016-2020).

Dalam jawapan bertulisnya kepada Liew minggu ini, Khairy berkata: “Projek ini bermula pada 30 Mei 2017 dengan tarikh asal siap pada 25 Mei 2020, dan telah diberi lanjutan masa sehingga 8 April 2022.

“Namun begitu, kontraktor menghadapi masalah dalam melaksanakan projek di mana kemajuan fizikal sebenar adalah 69 peratus setakat 31 Januari 2022 berbanding 96 peratus seperti yang dijadualkan.

“Justeru, JKR Malaysia sedang memantau pelaksanaan projek tersebut untuk mengambil tindakan selanjutnya.”

Projek pembinaan dan naik taraf itu melibatkan pembinaan bangunan hospital baharu yang dilengkapi enam dewan bedah, bilik endoskopi dan wad serta peralatan seperti Imbasan CT dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) untuk Jabatan Kecemasan dan Jabatan Radiologi.

Sebuah helipad juga akan dibina, menurut laporan media 2016 yang memetik Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan ketika itu Datuk Dr Chen Chaw Min.

Projek (Reka Bentuk dan Bina), yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri di bawah Rolling Plan 1 RMK-11, yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2016.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top