Program Vaksinasi Rumah Ke Rumah Di Sandakan

vaksinasi.jpg
Kongsi Bersama

SANDAKAN: Pejabat Kesihatan Sandakan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan program vaksinasi rumah ke rumah sekitar daerah Sandakan.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr. Johari Awang Besar berkata, program ini juga dijalankan untuk memberikan vaksinasi kepada penduduk yang mungkin mempunyai masalah tertentu, termasuk mereka yang ragu-ragu untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Sebagai permulaan, ia dilaksanakan di penempatan setinggan berdekatan Sg Kayu di sini bermula Isnin.

Katanya, seramai 60 orang menerima dos pertama vaksin menerusi program itu di kawasan tersebut.

“Kita ada 10 pasukan yang terdiri daripada pegawai dan paramedik untuk pergi dari rumah ke rumah.

“Di samping kita juga akan terus membuat bancian bagi mereka yang sudah menerima vaksinasi sebelum ini selain memberi vaksin secara terus kepada mereka yang memberi kebenaran untuk menerima vaksin,” jelasnya sejurus meninjau pemberian dos kedua vaksin AstraZeneca di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini pada Selasa.

“Sasaran kita adalah mengikut keutamaan iaitu pertama, di mana ada bilangan kes tinggi, kawasan yang banyak kes kematian Covid-19 luar hospital (BID), kawasan yang difikirkan kawasan padat penduduk dan mereka yang berada di kawasan yang mudah berlaku jangkitan seperti kawasan setinggan,” tambahnya.

Program ini juga menyasarkan orang bukan warganegara yang takut keluar kerana mendengar khabar angin akan ditangkap jika pergi mendapatkan vaksin.

“Saya berharap semua yang belum menerima vaksin akan memberi kerjasama sewajarnya dan sama-sama mencapai vaksinasi lengkap agar mudah menjalankan aktiviti, “ katanya.

Berkenaan bancian itu, beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melakukan bancian penduduk yang sudah menerima vaksinasi.

Dalam pada itu, beliau berkata Sandakan masih menunjukkan peratusan vaksinasi yang rendah.

“Tetapi kita ada sedikit kenaikan yang agak perlahan di mana setakat Isnin, bagi dos pertama, ia berada pada kadar 58 peratus dan dos kedua pada 51.33 peratus penduduk dewasa daripada jumlah keseluruhan 363,100 penduduk,” jelasnya.

“Saya percaya, mereka yang tidak dapat hadir akan datang segera sebelum PPV ditutup di daerah ini,” jelasnya.

Sementara itu, seramai 11,007 penerima dos kedua vaksin AstraZeneca akan menerima dos masing-masing sehingga 8 Oktober bermula 1 Oktober.

Bagi penerima dos pertama di PPV Dewan Hakka pada Ogos lepas, kesemua mereka akan menerima dos kedua di PPV Dewan Masyarakat Sandakan bagi memudahkan pemberian dan pemerhatian petugas.

Johari berharap pihak majikan juga akan memberi pelepasan kepada pekerja mereka untuk mendapatkan vaksinasi. Mereka yang sudah terlepas janji temu juga diminta datang ke dewan itu selepas 8 Oktober atau sekiranya ada ruang sepanjang tempoh sehingga 8 Oktober ini.

Johari menambah, mereka yang menerima janji temu di Pusat Anakku atau Pejabat Kesihatan Sandakan diminta tidak panik atau menunggu sedikit masa lagi bagi aturan janji temu lokasi baharu. – DE/Warta Oriental


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top