KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kesejahteraan rakyat dengan pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR). Inisiatif yang diperkenalkan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurut Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan, program yang bertujuan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan miskin dan miskin tegar itu merupakan langkah signifikan dalam memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, termasuk penerima yang berdaftar dalam sistem eKasih serta golongan yang sebelum ini tercicir daripada bantuan kerajaan.
“Pelaksanaan program ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap cabaran yang dihadapi rakyat akibat peningkatan kos sara hidup.
“Bantuan tunai yang diberikan secara bulanan sehingga Disember 2025 ini bukan sahaja memberikan kelegaan kewangan kepada penerima, tetapi juga menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebanyak RM358.5 juta diperuntukkan bagi menjayakan program ini, yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 penerima di seluruh negeri.
Nizam juga berkata perancangan kerajaan untuk memperluaskan pelaksanaan program ini melalui Fasa Kedua pada Mei 2025 juga wajar disambut baik, kerana ia akan memberi ruang kepada lebih ramai rakyat Sabah yang layak untuk menerima bantuan.
Antara penerima yang bakal mendapat manfaat dalam fasa ini termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih dan individu yang sebelum ini tidak tersenarai dalam pangkalan data negeri Sabah (PADANS).
“Usaha ini menunjukkan ketelusan dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan yang sewajarnya,” tambahnya lagi.
Beliau yang juga ADUN Apas turut berharap agar program SYUKUR inimenjadi bentuk sokongan berterusan yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat Sabah dalam jangka panjang. Pelaksanaan inisiatif ini selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya yang menekankan pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi kebaikan rakyat Sabah. Kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri telah membuktikan komitmennya dalam memperjuangkan kebajikan rakyat, dan saya yakin langkah-langkah seperti ini akan terus diperluaskan demi kesejahteraan semua,” ujarnya.