Program Port To Port Bantu Stabilkan Harga Barang Keperluan Di Sabah, Sarawak

nata-linggi.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Harga barang keperluan di Sabah dan Sarawak dijangka lebih stabil dengan program penyeragaman harga pelabuhan ke pelabuhan yang dilaksanakan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebanyak RM40 juta diperuntukkan dalam Bajet 2022 bagi pelaksanaan program itu.

Walau bagaimanapun, program tersebut terhad kepada barangan iaitu gula, minyak masak dan tepung gandum.

“Tanpa program ini semestinya harga tiga barangan tersebut lebih mahal tapi selepas program ini harganya dapat distabilkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas tinjauan di Pasar Besar pada Isnin.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas.

Menerusi program itu, kos logistik atau pengangkutan bagi barang keperluan akan dapat dikurangkan dan apabila barangan sampai kepada rakyat, harganya sama dengan harga barangan di bandar.

Langkah mengurangkan kos logistik sebegini diharap dapat membantu usaha kerajaan menyeragamkan harga barangan di Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, program itu akan dilaksanakan serentak dengan penyeragaman harga gas petroleum cecair dan program Community Drumming yang menerima peruntukan RM400 juta.

Secara keseluruhan RM440 juta diperuntukkan bagi mengurangkan kos barang keperluan.

Mengulas lanjut katanya, beliau turut melawat pusat jualan di Pulau Bum Bum dan Kundasang untuk menyaksikan sendiri bagaimana penghantaran barang keperluan dilakukan bagi memastikan harganya sama dengan harga di bandar.

Di Sabah, terdapat 845 pusat jualan diwujudkan dan terdapat 2,005 pusat jualan diwujudkan di seluruh negara.

Tambah beliau, pemasangan alat ulang siar yang diletakkan di enam pasar utama seluruh negara termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu diharap dapat menjadi rujukan dan saluran advokasi pengguna.

Alexander berkata, pelaksanaan program jualan Keluarga Malaysia yang diadakan di 274 lokasi termasuk di Tawau dan daerah ini akan diperluaskan kepada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan kerana secara purata harga barangan 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran,” katanya.

Foto: KPDNHEP Sabah

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top