Program Penyu Sabah ‘Menangis’ Akibat Covid-19

penyu.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pandemik Covid-19 meragut banyak nyawa – termasuk penyu di Taman-taman Sabah.

Penyertaan dalam program sarang penyu angkat dilihat jatuh menjunam, dari 650 tahun lalu kepada hanya 120 hingga akhir September tahun ini. Jumlah penyu angkat meningkat dari 103 sarang ketika pelancaran program itu pada 2016.

Sebilangan besar mereka yang mengambil sarang tersebut sebagai “anak angkat” adalah pelancong yang mengunjungi Turtle Island Park, sekitar 40km dari daerah pantai timur Sandakan di mana penyu jenis terancam, karah dan hijau mendarat hampir setiap malam untuk bertelur di Pulau Selingan, Bakungan Kechil dan Gulisan.

Orang ramai atau NGO boleh mengambil sarang penyu sebagai anak angkat dengan harga RM100. Sebagai pulangan, mereka menerima sijil yang menyatakan sumbangan terhadap usaha pemuliharaan haiwan di situ serta t-shirt peringatan.

Pegawai Taman-taman Sabah menjangkakan, jumlah penyertaan lebih tinggi tahun ini namun terjejas akibat sekatan perjalanan susulan pandemik Covid-19.

Sehingga September, jumlah sarang angkat diambil oleh individu dan pelbagai NGO sebanyak 120, kata Ketua Bahagian Inovasi dan Pendidikan Taman-taman Sabah, Nasrulhakim Maidin.

Walaupun yuran program itu menampung kos pembelian tanda khas bagi setiap sarang penyu, kesedaran mengenai program pemuliharaan melalui inisiatif itu turut penting, kata Nasrulhakim.

“Harapan kami melalui sarang angkat ini, orang ramai akan sedar, dalam memulihara spesies ikonik ini, kita perlu bekerjasama dan mempunyai program yang mapan di Taman-taman Sabah,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang terlibat dalam program angkat itu akan menjadi duta pemuliharaan penyu dan menyebarkan mengenai keperluan melindungi haiwan berkenaan.

Penyu mendarat di pantai tiga pulau itu dan bertelur antara 40 hingga 200 biji setiap sarang. Renjer Taman Sabah mengeluarkan telur dan memasukkannya ke tempat penetasan untuk melindungi daripada pemangsa seperti biawak, burung dan ular.

Anak-anak penyu menetas selepas 50 hingga 60 hari dan dilepaskan ke laut. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top