Program Outreach Membantu Mempercepatkan Rakyat Mendapat Vaksin Covid-19 – Bung

bung-kg-sangau.jpg
Kongsi Bersama

Oleh : Jaafar Abd Wahid

KINABATANGAN: Pemberian vaksin melalui program Outreach Vaksinasi Covid -19 di kawasan luar bandar di negeri ini khususnya di kawasan yang tidak mempunyai akses kesihatan dan masalah perhubungan jalan raya bertujuan untuk memastikan penularan pandemik COVID-19 dapat dicegah dari terus berleluasa

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata  pemberian suntikan vaksin melalui program ini yang akan dilaksanakan secara menyeluruh bermula Julai ini dijamin mengembalikan norma kehidupan rakyat seperti sediakala.

“Saya yakin apabila program pemberian vaksin kepada rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya kehidupan kita akan kembali normal dan pelbagai sektor yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 akan kembali pulih,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Outreach Vaksinasi Covid -19 dan penyampaian bakul makanan di Kampung Balat dan Kampung Sangau dekat sini kelmarin.

Hadir sama Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap Abdul Rahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat kawasan Lamag Abu Bakar Gafar

Menurut Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan usaha perlu dilipatgandakan bagi memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan vaksin dan mendaftarkan mereka sebagai penerima vaksin

Katanya kebersamaan semua pihak termasuk agensi kerajaan dan swasta diperlukan untuk menjayakan proses pendaftaran dan pemberian  vaksin Covid-19 yang masih rendah khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar di negeri ini.

Menurut beliau peratusan rakyat yang menerima vaksin masih agak rendah terutamanya di luar bandar yang antara puncanya ialah kurangnya maklumat yang tepat mengenai kebaikan vaksin selain kekangan perhubungan.

“Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pendaftaran melalui MySejahtera sahaja, ini kerana ada kawasan di luar bandar yang tiada ekses internet justeru peranan pemimpin masyarakat akar umbi bagi memberikan penjelasan tentang kebaikan vaksin dan mendaftarkan mereka sebagai penerima dapat membantu mempercepatkan proses  pemberian vaksin kepada rakyat,” katanya .

Mengulas mengenai kehadiran ramai masyarakat luar bandar khususnya di Kinabatangan untuk mendapatkan suntikan vaksin pada siri program outreach yang dilaksanakan berbanding jumlah dos vaksin yang dibekalkan, Bung yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, perkara itu juga berlaku di negara-negara lain.

Bagaimanapun, beliau yakin ketibaan bekalan dos vaksin pada Julai ini dijangka mampu mencapai 85 peratus sasaran rakyat diberikan suntikan vaksin pada Oktober nanti.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top