KOTA KINABALU: Seramai 250 orang membabitkan penerima wanita di negeri ini mendapat geran Program MyKasih Kapital berjumlah RM500.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, bantuan geran berkenaan bagi membantu golongan yang terjejas pandemik COVID-19 khususnya wanita yang mahu memulakan bidang keusahawanan.
Katanya, menerusi program itu, para penerima akan dipantau selama enam bulan untuk melihat prestasi dan potensi yang boleh dikembangkan kerajaan dengan kerjasama kementerian dan agensi yang lain.
Menurutnya, sejak dilancarkan seramai 5,000 penerima mendapat manfaat Geran Program MyKasih Kapital di seluruh negara.
“Saya juga amat bersyukur kerana kerajaan Persekutuan sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya dan kementerian melalui Belanjawan 2022 dengan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM6.25 juta untuk memperluaskan pelaksanaan MyKasih Kapital demi kemakmuran bersama.
“Menerusi program ini, para penerima bukan sahaja mendapat modal perniagaan, tetapi juga menjadi motivasi diri untuk bangkit dan memulakan perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Penyerahan Geran MyKasih Kapital Yayasan Kebajikan Negara Siri 1 di sini pada Isnin.
Rina berkata, bukan semua wanita ada keyakinan untuk memulakan perniagaan. Namun, disebabkan banyak kekangan mereka sanggup mengambil keputusan untuk mula berniaga biarpun hanya sebagai usahawan kecil.
Dalam pada itu, pihaknya akan membuat penilaian secara berterusan bagi memastikan jumlah peruntukan untuk program berkenaan akan ditingkatkan dari jumlah sekarang.