BINGKOR: Program Kolaborasi Uppm dan Pemimpin Setempat Bagi Parlimen P.180 Keningau harus terus dilaksanakan di semua kawasan Parlimen Negeri Sabah dalam usaha untuk memperkasa pemimpin-pemimpin setempat bagi mencapai hasrat kerajaan negeri ke arah Sabah Maju Jaya.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Robert Tawik berkata, sebagai seorang wakil rakyat, beliau amat mengalu-alukan program seumpama itu dan dimaklumkan bahawa hadirin disajikan dengan ceramah-ceramah daripada empat agensi sejak awal pagi iaitu daripada Ikrar Negeri Sabah, IDS, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.
“Terima kasih bkepada semua penceramah di atas kesudian bertandang ke kawasan parlimen Keningau untuk berkolaborasi dengan pemimpin-pemimpin setempat di sini.
“Saya amat yakin bahawa usaha dan kerjasama seumpama ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyahut seruan kerajaan yang diterajui YAB Ketua Menteri agar kita mesti sentiasa memberi fokus kepada kepentingan rakyat.
“Ini bermakna kita bukan sahaja bertanggungjawab menjadi pendengar yang baik tentang keluhan permasalahan rakyat tetapi menjadi agen penyampai dan pelaksana dasar-dasar kerajaan agar dinikmati sehingga ke akar umbi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kolaborasi Uppm dan Pemimpin Setempat Bagi Parlimen p.180 Keningau, semalam.
Sambil memohon kerjasama hadirin agar sepenuhnya apa yang telah disampaikan oleh para penceramah, Robert berkata, sebagai pemimpin akar umbi yang amat dekat dengan rakyat, mereka seharusnya menjalankan amanah dan tanggung jawab sebaik mungkin sebagai mata dan telinga kerajaan.
“Pada masa yang sama kita jangan lupa menjaga etika kita sebagai pemimpin yang sentiasa menjadi cerminan dan teladan di mata rakyat,” katanya.
Sumber: SabaHitz On9 TV