Program Homeward Kini Dilaksana Di Semua Daerah

shahelmey-4.jpg

Shahelmey ketika menziarahi penerima bantuan Program Homeward di daerah Keningau.

Kongsi Bersama

KENINGAU: Program Homeward yang merupakan satu pendekatan holistik kerajaan bagi merakyatkan perkhidmatan di negeri ini telah dilaksanakan di seluruh daerah dengan melibatkan banyak agensi dan jabatan yang berkenaan untuk memastikan kumpulan masyarakat yang disasarkan terus disantuni.

“Program ini telah dilaksanakan di semua daerah di Sabah.

“Pada awal pelancaran program ini, kita hanya mensasarkan sebanyak 100 orang penerima, tetapi sejak ianya dilaksanakan kita telah mendapat kitaran sebanyak 242 peratus.

“Saya berharap dengan adanya Program Homeward ini ia akan benar-benar dapat membantu merakyatkan perkhidmatan bagi tujuan kesejahteraan rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan,” kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di Kg. Kota Ayangan, Kg. Tohan Baru dan Kg. Antolob, di sini semalam.

Jelasnya, tinjauan tersebut bertujuan untuk memastikan mekanisma penyampaian program tersebut berjalan lancar.

“Tinjauan ini bertujuan untuk melawat dan melihat sendiri keadaan penerima-penerima katil boleh laras ini.

“Saya juga sempat berbual dengan mereka untuk meninjau mekanisma pemberian program ini untuk tujuan penambahbaikkan,” ujarnya.

Shahelmey juga menyeru badan-badan bukan kerajaan untuk sama-sama membantu dalam menyumbang kepada masyarakat.

“Kita berharap bukan sahaja daripada pihak Kerajaan tetapi badan-badan bukan kerajaan yang berkemampuan untuk turut sama-sama menyumbang menjayakan program seperti ini,” katanya.

Untuk rekod, Program Homeward merupakan sebuah program berimpak tinggi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat melalui Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dengan sumbangan daripada Yayasan Petronas yang tersenarai dalam flagship Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Program ini berkonsepkan pinjaman alat keperluan asas rumah sakit kepada orang terlantar sakit, warga tua dan orang kurang upaya (OKU) dari golongan B40. Selain daripada katil boleh laras, terdapat juga keperluan-keperluan seperti kerusi roda, oxygen concentrator dan lain-lain.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top