‘Program Edaran Barang Keperluan Asas’ Bantu Rakyat Sarawak Dan Sabah

makanan.jpg

KUCHING: Tiada lagi aduan diterima daripada penduduk di Ba’ Kelalan, salah sebuah kawasan pedalaman di Sarawak, berkenaan harga barang keperluan sejak program Pengedaran Barangan Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan ‘Community Drumming’ dilaksanakan kerajaan pada 2009.

Roger Duyong, 63, berkata itu maklum balas yang diterimanya setiap kali kembali melawat sanak saudaranya di penempatan yang berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia di utara negeri tersebut.

“Saya rasa sejak lebih 10 tahun sudah setiap kali saya ke Ba’Kelalan, saya tidak lagi mendengar sebarang keluhan dari ahli keluarga besar saya di sini berhubung harga barang keperluan yang mahal,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Beliau mengakui sebelum kerajaan melaksanakan program berkenaan, harga barangan keperluan LPG dan bahan api kenderaan di Ba’Kelalan meningkat sehingga sekali ganda.

“Kos pengangkutan sering dikaitkan sebagai punca harga barangan ini menjadi lebih mahal memandangkan barangan ini terpaksa diangkut melalui bekas jalan pembalakan dan mengambil masa sehingga enam jam untuk sampai,” katanya.

Lian Pasan, 55, yang berada di Bario, sebuah kawasan dataran tinggi di pedalaman daerah Baram, utara Sarawak, berkata program itu turut membantu menurunkan kos operasi bagi penduduk di kawasan yang terkenal dengan suasana hijau dan nyaman.

“Subsidi yang diberikan kerajaan ini banyak mengurangkan harga barangan keperluan yang mahal sebelum ini dan sudah tentu pengurangan ini dapat membantu mempromosikan lagi Bario sebagai tempat tumpuan pelancong,” katanya.

Sementara itu, di SABAH, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS) Datuk A. Nagaraju berpendapat mekanisma pelaksanaan program itu perlu diperhalusi bagi menjamin keberkesanannya memandangkan harga barangan berkenaan terutama di luar bandar masih tinggi.

Katanya, kerajaan perlu mengkaji sedalamnya bagaimana menyeragamkan harga antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak secara lebih berkesan kerana meskipun pelbagai program telah dijalankan namun ia dilihat masih kurang berkesan.

“Dengan penyeragaman harga itu bukan hanya memberi kelegaan kepada rakyat tetapi juga lebih mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak,” katanya.

 

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top