Program Doa Malaysia Prihatin Sempena Sambutan Hari Malaysia 2021

Bung1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Program Doa Malaysia Prihatin yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya Sabah dan dilaksanakan oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) merupakan satu daripada pelbagai lagi aktiviti pengisian sempena Hari Malaysia 2021.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi JawatanKuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2021 berkata, program seumpama ini merupakan program tahunan LKTNS yang telah dianjurkan sejak tahun 2018 lagi.

Katanya, tema bagi Program Doa Malaysia Prihatin pada tahun ini ialah “Malaysia Prihatin” dan dilaksanakan untuk memberi ruang dan peluang kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Bukan Islam untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan Malaysia sempena Hari Malaysia tahun 2021.

“Selain itu, program ini juga adalah diharapkan dapat menyatupadukan masyarakat dalam memupuk toleransi berkaitan kebebasan beragama dalam kalangan rakyat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Bung, program Doa Malaysia Prihatin ini diharapkan agar dapat membina kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap konsep Keluarga Malaysia yang juga merupakan jaminan dalam kebebasan dan toleransi beragama di Malaysia.

“Sesungguhnya, konsep “Keluarga Malaysia” yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini amat bertepatan dalam menggambarkan bahawa kerajaan kita hari ini sangat memahami serta menghormati kepelbagaian etnik, suku, agama dan bangsa rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Sesungguhnya, kita semua adalah Keluarga Malaysia!”

Katanya, persatuan yang terlibat di dalam penganjuran program ini termasuklah Persatuan Bumiputera Kristian Sabah, Gabungan Persatuan Cina Sabah, Persatuan Kinabalu Singh Sabha Sabah dan Malaysia Hindu Sangam (MHS) Majlis Sabah.

Pada masa yang sama, tambahnya, program ini juga terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama kerana orang ramai boleh mengikuti Program Doa Malaysia Prihatin secara Live streaming daripada Facebook persatuan yang turut dikongsikan di laman Facebook LKNS.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top