Program Bicara Bonda Beri Teladan Bentuk Keluarga Bahagia

bicara-bonda.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Program Bicara Bonda sempena sambutan Maulidur Rasul SAW 1443H/2021M diharap memberi banyak pengetahuan dan teladan untuk membentuk keluarga bahagia.

Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Juliah Salag, berkata ini termasuk dapat melakukan yang terbaik terhadap keluarga daripada segi akhlak, kasih sayang dan tanggungjawab yang terbaik kepada keluarga masing-masing.

“Perlu diingat bahawa daripada keluargalah akan lahir keharmonian dan kesejahteraan dalam berjiran, bermasyarakat dan bernegara.

“Justeru, amat sesuai sekali apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebagai tonggak kesejahteraan rakyat di negara kita yg tercinta.

“Pembentukan keluarga bahagia juga adalah amanah yang seharusnya dilaksanakan oleh ibu bapa dan ahli keluarga bagi membentuk generasi yang cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya ketika merasmikan Program Bicara Bonda sempena sambutan Maulidur Rasul SAW 1443H/2021M di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.

Yang turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Naib Yang Dipertua 1 MUTIARA GRS, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Bicara Bonda, Datin Lenny Natasha Tan Sri Musa serta Setiausaha Kehormat MUTIARA GRS, Datin Dg Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi.

Sehubungan itu, Juliah berharap program ini akan diperluaskan lagi agar semua golongan sasar akan mendapat manfaat yang dibawakan oleh kerajaan khususnya dalam program Bicara Bonda ini.

Pada majlis itu, isteri Ketua Menteri itu turut menyampaikan Tokoh Anugerah Saidatina Khadijah kepada anak kelahiran Membakut, Dr Zainab Binti Kassim, 52, kini masih bertugas sebagai Pakar Neonatologi di King College Hospital d London.

Dr Zainab turut menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM15,000.

Dua lagi anugerah iaitu Anugerah Khas sempena Program Bicara Bonda diberikan kepada Rosnani Abdullah, 61, yang terbabit dalam mengusaha madrasah pondok di Sabah dan menerima wang tunai RM10,000 manakala Persatuan Ibu Tunggal Sabah turut menerima sumbangan wang tunai untuk aktiviti pengurusan persatuan itu sebanyak RM5,000 kepada Pengerusinya, Norhanidah Anol.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top