TAWAU: Program Anti Pengemisan yang dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah dapat meningkatkan pemahaman masyarakat supaya tidak memberi wang kepada pengemis.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kesedaran ini penting dalam usaha mengekang berlakunya penipuan atau sindiket kutipan derma.
Katanya, orang ramai diminta supaya tidak sewenang-wenangnya memberi sumbangan kepada individu kerana dikhuatiri aktiviti pengemis itu bermotifkan penipuan.
“Kita melihat kebanyakan sindiket ini menggunakan kanak-kanak untuk menarik rasa simpati orang ramai untuk menghulurkan bantuan.
“Justeru, orang ramai perlu tahu latar belakang mereka sebelum memberikan bantuan kepada golongan ini sama ada pengemis berkenaan betul-betul memerlukan atau sebaliknya,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika turun padang bersama JPKA Sabah melaksanakan Program Anti Pengemisan di Bazar Ramadan Sabindo, di sini.
Nizam berkata, JPKA Sabah adalah agensi yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membantu golongan yang memerlukan di negeri ini.
“Sekiranya ada individu yang mengalami kesusahan, mereka boleh terus berhubung dengan Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am yang ada di seluruh Sabah.
“JPKA Sabah akan membuat siasatan dan sekiranya mereka benar-benar layak untuk dibantu, maka bantuan akan diberikan mengikut kapasiti yang telah disediakan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPKA Sabah, Jais Asri berkata, kempen ini menumpukan di kawasan bazar ramadan dan masjid-masjid dalam usaha menangani peminta sedekah terutamanya babitkan kanak-kanak.
Katanya, JPKA Sabah mahu memberi penerangan kepada masyarakat untuk menyalurkan sumbangan ke tempat yang betul seperti rumah kebajikan, pertubuhan sukarelawan atau pertubuhan amal yang berdaftar.
“Kami mahu masyarakat cuba bertanya status dan dokumen sekiranya berjumpa pengemis supaya golongan ini tidak selesa dan akhirnya beredar dari tempat berkenaan.
“Saya menyeru kepada masyarakat di luar agar turut sama membantu bagi memastikan hasrat kerajaan membasmi aktiviti pengemisan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Oleh:
Hamzah Sanudin/Utusan Borneo