Program amal parti Warisan KK + NGO di Jireh House

amal-warisan.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU : Keprihatinan terhadap kebajikan kanak-kanak, khususnya yang kurang bernasib baik menyemarakkan lagi sifat penyayang di kalangan masyarakat.

Baru-baru ini, rombongan Parti Warisan Bahagian Kota Kinabalu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Bahagian Warisan Kota Kinabalu, Melanie Chia bersama beberapa persatuan kebajikan badan bukan kerajaan (NGO), menyantuni warga Jireh House, sebuah rumah kebajikan kanak-kanak di Tuaran, untuk menyampaikan bantuan kepada kanak-kanak di pusat kebajikan itu.

Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Jireh House menempatkan 15 kanak-kanak perempuan dan 9 kanak-kanak lelaki yang diletakkan di bawah jagaan beberapa pengasuh, 24 jam setiap hari.

Antara NGO terlibat ialah Persatuan HuaGuang Gongde, Pusat Tuisyen Inovasi dan Persatuan Persahabatan Nyayian Kota Kinabalu.

Pada sebelah pagi, barangan seperti beras, bantal, tilam, tuala muka, tuala, pakaian, cadar, papan lapis, alat tulis dan lain-lain keperluan harian dari Kota Kinabalu tiba untuk disampaikan kepada kanak-kanak di pusat penjagaan di Tuaran itu.

Selain itu, individu prihatin turut menghantar hidangan set McDonald’s dan ayam goreng kepada semua kanak-kanak.

Suasana menjadi lebih ceria apabila kesemua sukarelawan menjamu selera dan berinteraksi dengan kanak-kanak di pusat kebajikan Jireh House.

Sebagai menghargai kunjungan ini, kanak-kanak di Jireh House mempersembahkan sebuah lagu dengan menggunakan alat muzik seperti biola dan gitar.

Selain membantu mengagihkan bekalan, belia Parti Warisan Bahagian Kota Kinabalu turut bekerjasama dengan Persatuan Merit Hua Guang dan Pusat Tuisyen Inovasi untuk menjalankan kerja memperbaiki dan menyelenggara struktur katil yang digunakan kanak-kanak di sini selain menyumbang tilam baharu yang lebih selesa kepada kanak-kanak berkenaan.

Selepas acara itu berakhir, Setiausaha Warisan Bahagian Kota Kinabalu, Loi Kok Liang berkata, masih ramai kanak-kanak dan individu yang tidak bernasib baik di Sabah yang amat memerlukan bantuan dan pembelaan. – Borneo Today

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top