Produk IKS ‘Made In Sabah’ Masuki Pasaran UK

produk-iks-ke-UK.jpg

Zulkhairi (lima kiri) menyempurnakan pelepasan konsainan pertama produk IKS Glopec untuk dieksport ke United Kingdom.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Konsainan pertama produk buatan Sabah melalui Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC) telah dilancarkan pada 7 Mac 2022 ke United Kingdom (UK) memberikan rangsangan positif kepada potensi produk tempatan.

Majlis pelepasan telah disempurnakan Pengurus Kumpulan Kanan Bahagian Sumber Manusia dan Perkhidmatan Korporat (YS/ICSB) Zulkhairi Ismail yang mewakili Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn. Bhd., Datuk Seri Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar bertempat di Bangunan GLOPEC, Neutron Riverside, Inanam, di sini.

Pelepasan itu merupakan sebahagian daripada komitmen yang dilaksanakan menerusi penubuhan GLOPEC iaitu sebuah platform yang ditubuhkan pada tahun lalu yang merupakan hasil perkongsian strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Antara objektif penubuhan itu adalah bagi meningkatkan jejak global bagi Industri Kecil Sederhana (IKS) Sabah daripada segmen B40 dan M40 yang diberi mandat di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera 2020 di Sabah sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe11).

Gulamhaidar dalam satu kenyataan berkata, GLOPEC telah terlibat secara aktif dengan rakan usaha sama strategik antarabangsa, agensi berkaitan perniagaan dan badan pentadbir serta pembekal dan pengguna dalam menerokai jaringan kerjasama perniagaan baharu dalam pasaran global.

“Meskipun pandemik COVID-19 telah memperlahankan perdagangan global sejak dua tahun lalu, GLOPEC sentiasa menilai dan menganalisis perkembangan perniagaan antarabangsa, serta merangka pelbagai strategi untuk meningkatkan peluang perniagaan bagi produk Sabah.

“GLOPEC bakal mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai pameran perdagangan antarabangsa dan promosi, pameran, dan forum perniagaan dalam fasa akan datang demi mempromosikan produk buatan Sabah,” katanya.

Katanya, meskipun persekitaran ekonomi global kian mencabar, KYS tekad membangunkan ciptaan dan inovasi baharu dalam perniagaan.

“Sememangnya, ia membantu dalam kematangan kreativiti, produktiviti, perdagangan, dan ekonomi secara keseluruhan.

“Produk IKS GLOPEC, seperti makanan kesihatan berasaskan sumber semula jadi dan produk kecantikan, memenuhi keperluan pengguna global,” katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan batik dan kraf berasaskan sumber hutan, kedua-duanya menunjukkan bukti jelas kemajuan pembuatan kraf tangan.

Katanya, ia jelas menunjukkan keupayaan dalam menyemai kemahiran teknikal peringkat tinggi dalam reka bentuk dan pengeluaran kepada usahawan IKS GLOPEC, seterusnya menghasilkan produk bertaraf dunia untuk pasaran global.

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top