Produk Berjenama Palsu Bernilai Lebih RM200,000 Dirampas Dari Kedai Di Keningau

kpdnkk-rampas-barang-tiru.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas 5,567 barangan disyaki produk Adidas, Nike dan Puma palsu di sebuah premis perniagaan di Keningau pada 17 November.

Nilai rampasan dianggarkan RM223,880, kata Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas.

Katanya, operasi itu dilakukan susulan maklumat daripada Randall Gateskill Risk Consultancy Sdn Bhd, yang bertindak sebagai wakil pemilik tanda dagangan berdaftar Adidas, Nike dan Puma.

Sepuluh pegawai penguat kuasa KPDNHEP Sabah dan wakil pemilik cap dagangan terbabit dalam serbuan itu.

Pemilik premis perniagaan itu disyaki melanggar Akta Cap Dagangan 2019 dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM10,000 akan dikenakan bagi setiap item atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya; manakala badan korporat boleh didenda tidak lebih RM15,000 bagi setiap item, kata Georgie dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau juga berkata kementerian akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi mengekang penjualan barangan tiruan dan cetak rompak di pasaran.

“Pemilik perniagaan diingatkan supaya bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain di samping memeriksa ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihatkan untuk tidak menyokong penjualan produk tiruan di pasaran kerana ia tidak dijamin dari segi kualiti dan keselamatan,” kata Georgie. – Borneo Post

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top