TEMERLOH: PAS Sabah dan Sarawak akan diberikan kuasa autonomi penuh untuk memilih rakan parti yang dianggap bersesuaian untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijadualkan berlangsung tahun depan.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu diambil berikutan landskap politik di dua buah negeri itu berbeza dengan Semenanjung Malaysia.
“Dalam konteks Sabah, mereka lebih tahu tentang keperluan di Sabah. Saya tengok mungkin satu pendekatan yang sesuai untuk Sabah dalam muafakat politik di sana.
“PAS di Sabah sekarang sebahagian daripada kerajaan. Kita ada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) lantikan yang dilantik oleh kerajaan, dan kita mendokong kerajaan di Sabah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-65 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, di sini malam tadi.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri dan Naib Ketua Pemuda PAS, Hanif Jamaluddin.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai berkata, PRN17 hanya akan diadakan selepas tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada iaitu September tahun depan.
Tambah Tuan Ibrahim, adalah penting bagi pihaknya untuk melebarkan pendekatan dalam organisasi bukan kerajaan (NGO).
“Ini kerana terdapat banyak golongan profesional yang tidak ‘direct’ kepada parti itu, namun telah menyumbang kepada perubahan politik negara,” katanya. – HARAKAHDAILY