PRN: Umno sekadar berjanji, gagal selesai masalah rakyat

sahar-abd-majid.jpg

Sahar

KINABATANGAN: Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sabah, Sahar Abdul Majid berkata, janji-janji yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu masalah air, elektrik dan jalan raya di negeri ini dimasukkan dalam manifesto sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 perlu diteliti sebelum dipercayai.

Beliau menegaskan bahawa UMNO pernah memerintah Sabah dari 1995 hingga 2018, namun isu-isu seperti kerosakan jalan, bekalan air yang tidak mencukupi, dan masalah elektrik tidak pernah diselesaikan secara tuntas.

“Sekarang UMNO sudah berada dalam kerajaan persekutuan, tetapi mereka masih gagal menyelesaikan masalah yang sudah lama berlarutan di Sabah.

“Jalan raya banyak yang rosak terutamanya di kawasan Kinabatangan, masalah bekalan air dan elektrik tidak pernah selesai, sedangkan MP di sini adalah Pengerusi UMNO Sabah yang sudah lama mewakili kawasan ini sejak berpuluh tahun yang lalu, bahkan menjadi ADUN di DUN Sukau dan Lamag,” katanya sewaktu dihubungi.

Beliau juga menyatakan rasa kecewa dengan janji-janji pembangunan yang dilontarkan menjelang pilihan raya dan menganggapnya sebagai janji manis yang hanya muncul apabila musim pilihan raya.

“Sepatutnya, apabila mereka memerintah dulu, mereka sudah mampu untuk selesaikan semua ini dengan baik. Kenapa baru sekarang mereka mahu membuat janji lagi?

“Banyak lagi kawasan di Sabah terutamanya kawasan kampung dan pedalaman yang masih belum mendapat bekalan air paip, elektrik, dan jalan raya yang baik,” tambahnya.

Sahar turut mengingatkan ketika UMNO telah menjadi kerajaan negeri sebelum ini, sepatutnya mereka telah menggunakan kuasa tersebut untuk menyelesaikan masalah rakyat Sabah, bukan hanya mengeluarkan janji-janji pembangunan menjelang PRN.

“Ini adalah permainan politik lama yang hanya merugikan rakyat Sabah. Rakyat Sabah seharusnya sudah bijak menilai janji-janji ini,” ujarnya lagi.

Tambahnya, sebagai sebuah parti yang pernah memerintah Sabah selama lebih dari dua dekad, UMNO sepatutnya lebih peka terhadap keperluan rakyat Sabah, bukan sekadar memberi harapan kosong pada musim pilihan raya.

Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berjanji menyediakan manifesto realistik yang fokus kepada kemudahan asas seperti jalan raya, elektrik, dan air sewaktu berucap menyampaikan amanat di Majlis Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di Tawau, baru-baru ini. – HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top