PRN: Tiada Undi Pos Untuk Pengundi Luar Kawasan

azmi-1.jpg

KOTA KINABALU: Cadangan badan bukan kerajaan (NGO), Global Bersih supaya menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi kemudahan undi pos kepada Pengundi Luar Kawasan (PLK) bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah nanti nampaknya tidak diterima oleh suruhanjaya itu buat masa ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai cadangan itu tetapi tidak bercadang untuk memberi kemudahan tersebut kepada pengundi Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia dan Sarawak bagi mengundi pada PRN kelak.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Azmi berkata, pihaknya akan terus berusaha memperbaiki proses pengundian pos, selain daripada meneroka pilihan alternatif untuk PLK.

“SPR memberi perhatian yang sewajarnya di bawah pelan penambahbaikan dengan sebuah jawatankuasa yang dibentuk khusus untuk mengkaji isu ini.

“Ini adalah satu proses yang tidak boleh tergesa-gesa dan apa-apa penambahbaikan mesti dilakukan dengan berhati-hati,” katanya.

Global Bersih membuat cadangan itu menerusi kenyataan media pada 5 Ogos lepas.

Azmi turut memaklumkan SPR akan menggunakan khidmat kurier antarabangsa bagi penghantaran sampul undi pos luar negara.

Ini disebabkan terdapat pemberhentian sementara perkhidmatan mel dan bungkusan antarabangsa serta Perkhidmatan Mel Ekspres (EMS) Pos Malaysia ke semua destinasi antarabangsa kecuali Singapura sejak 3 Ogos lalu.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top