PRN Sarawak: Abang Jo Ucap Terima Kasih Kepada Bersatu, BN Sebab Tak Letak Calon

abang-johari.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengucapkan penghargaan kepada Bersatu dan Barisan Nasional (BN) yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya negeri ke-12 (PRN12) Sarawak, kata Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Openg.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak berkata, keputusan dua parti itu menunjukkan semangat setia kawan yang baik sebagai rakan gabungan pada peringkat persekutuan.

Beliau juga yakin keputusan itu dibuat kerana pimpinan dua parti itu memahami situasi politik Sarawak.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu) dan Annuar Musa (Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno) yang mengumumkan tidak meletakkan calon masing-masing pada pilihan raya Sarawak.

“Ini satu semangat yang baik kalangan kita, khususnya kerana kita ada wakil dalam kerajaan pusat, Bersatu ada dan BN juga ada,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Abang Johari berkata, dua parti itu memberi ruang kepada rakyat Sarawak untuk menentukan hala tujunya.

“Dengan semangat ditunjukkan itu, kita boleh menjadi rakan dalam gabungan Malaysia untuk membangunkan negara,” katanya.

Bersatu mempunyai satu kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak, iaitu di Krian dan dengan pengumuman Muhyiddin semalam, penyandang kerusi itu, Ali Biju dijangka memberi laluan kepada GPS.

GPS sebelum ini sudah memutuskan untuk bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN Sarawak yang akan diadakan 18 Dis. – FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top