PRN Sabah tahun depan, kata Hajiji

CM-Open-House-2024.jpg

Hajiji mengalu-alukan kehadiran tetamu di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Dewan Sri Sulaman.

Kongsi Bersama

TUARAN: Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah hanya akan diadakan selepas tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada iaitu September tahun depan.

BHarian semalam melaporkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memberi bayangan itu apabila menyatakan tempoh DUN semasa masih panjang dan banyak urusan pentadbiran perlu diselesaikan.

Menurut laporan itu Hajiji berkata, masih banyak masa diperlukan untuk melaksanakan tugasan, khususnya beberapa isu pembangunan dihadapi rakyat negeri ini.

“Saya tidak tahu (bila pilihan raya). Saya sebagai ketua kerajaan Sabah akan membuat keputusan bila kita mengadakan pilihan raya, tapi tempoh (DUN) kita sekarang sehingga hujung September tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Dewan Sri Sulaman, di sini.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman ditanya sama ada sudah memikirkan tarikh PRN17 memandangkan ramai menjangkakan pilihan raya diawalkan sejajar peningkatan suhu politik di Sabah kebelakangan ini.

“Kita ada banyak lagi tugasan perlu ditunaikan dan dilaksanakan, khususnya menyelesaikan masalah rakyat seperti isu air.

“Walaupun masalah air bukan perkara baharu dan diwarisi daripada kerajaan lalu, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan menyelesaikannya.

“Kita mempunyai peruntukan RM300 juta untuk melaksanakan beberapa projek dan selepas siap nanti akan melancarkan agihan air di Kota Kinabalu dan juga daerah yang lain,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri menjangkakan masalah air khususnya di ibu negeri dan daerah sekitarnya selesai dengan siapnya pelaksanaan projek berkaitan tahun ini.

Tahun lalu, Hajiji pernah menyuarakan jangkaan PRN17 diadakan lebih awal, termasuk kemungkinan tahun ini namun tertakluk kepada situasi politik semasa di negeri ini.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top