KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meminta rakyat negeri ini mengabaikan dakwaan palsu bahawa Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merancang meninggalkan gabungan itu untuk bertanding bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan GRS, Datuk Joniston Bangkuai berkata bahawa kedua-dua PBS dan STAR tetap komited terhadap gabungan pemerintah itu.
“Dakwaan ini adalah usaha terdesak oleh pihak-pihak tertentu yang berniat untuk memecahbelahkan GRS kerana sokongan yang semakin meningkat terhadap parti-parti tempatan untuk terus memimpin kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan sebagaimana dipetik oleh NST.
Sebelum ini, sebuah video yang menunjukkan keratan berita palsu yang mendakwa PBS dan STAR akan bertanding secara sendiri telah menjadi viral.
Joniston berkata “pihak-pihak tertentu” telah bertindak secara keterlaluan untuk menyebarkan pembohongan tentang GRS dan kerajaan negeri.
Beliau berkata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga pengerusi GRS, kerap bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti dalam kerajaan negeri.
Ini, katanya, mencerminkan hubungan baik antara parti-parti tersebut.
Kata beliau, adalah perkara biasa bagi parti-parti politik (dalam mana-mana gabungan) untuk menyatakan minat bertanding di seberapa banyak kerusi yang mungkin. Walau bagaimanpun pada akhirnya perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan secara bersama.
Beliau, yang juga Ketua Penerangan PBS berkata, memastikan kejayaan berterusan GRS adalah antara objektif utama yang dipersetujui oleh PBS dan STAR dalam memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kedua-dua parti.
“Fokus kami adalah untuk memberikan tadbir urus yang baik dan pembangunan untuk rakyat Sabah, dan kami tidak akan terganggu oleh dakwaan yang tidak berasas ini,” tegasnya.