KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata sebarang keputusan berhubung kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan parti lain untuk pilihan raya negeri Sabah akan diumumkan menjelang pilihan raya itu nanti.
“Keputusan itu akan dibuat lebih dekat dengan pilihan raya negeri Sabah,” katanya kepada pemberita secara ringkas pada sidang media semalam.
Loke menjawab soalan mengenai kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terhadap kepentingan memperkukuh kerjasama dengan PH, menjelang pilihan raya negeri Sabah.
Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) berkata kerjasama antara BN dan PH telah memudahkan pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan.
“Mungkin, suasana serupa boleh diterjemahkan di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW).
Zahid merujuk kepada soalan mengenai kenyataan Umno Sabah baru-baru ini, yang membayangkan ia akan membentuk gabungan dengan mana-mana parti untuk PRN Sabah ke-17 akan datang.
Beliau juga berkata Umno sedia bekerjasama dengan parti yang mempunyai perjuangan yang sama.
Pada Sabtu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata berdasarkan landskap politik semasa, tiada satu parti pun boleh bergerak solo pada PRN nanti.
Beliau berkata oleh itu gabungan adalah perlu, tetapi Umno akan memperhalusi terlebih dahulu gabungannya dengan sebarang parti lain.