KOTA KINABALUL Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, adalah menjadi hak Umno untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pilihannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) sedia mempertimbangkan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi membentuk kerajaan Sabah, tetapi meletakkan Pakatan Harapan (PH) Sabah sebagai keutamaan.
“Itu hak mereka, saya tidak boleh menghalang. Jika mereka memutuskan begitu, maka terpulang kepada mereka. Saya tidak mahu campur tangan dengan apa yang mereka mahu lakukan.
“Kita (Warisan) terbuka, dan seperti yang saya katakan, kita tidak mahu menolak sesiapa. Yang penting ialah memperkukuh parti kita sebagai platform yang memperjuangkan rakyat Sabah dan hak mereka,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.
Kenyataan Zahid susulan Umno Sabah pada Sabtu lalu membayangkan ia sanggup membentuk gabungan dengan parti lain menjelang PRN akan datang.
Ketua Umno Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata landskap politik negeri sekarang hanya untuk gabungan yang boleh membentuk kerajaan.
DUN Sabah akan terbubar secara automatik menjelang Oktober tahun depan, di mana pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Bagaimanapun, Ketua Menteri Datul Seri Hajiji Haji Noor sebelum ini membayangkan pilihan raya boleh diadakan sebelum tamat penggal.
Turut menjadi spekulasi, Umno Sabah dan Warisan akan bekerjasama dalam PRN selepas Shafie mengumumkan kemungkinan itu pada perhimpunan agung partinya Disember lalu.