LAHAD DATU: Sebarang keputusan sama ada BN bertanding secara solo atau bekerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hanya akan diputuskan oleh BN Pusat, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Walau bagaimanapun, ujar beliau, keputusan itu dibuat atas cadangan daripada BN Sabah yang dilakukan secara konsensus dengan rakan komponen yang lain.
Menurut beliau, setakat ini BN Sabah belum memuktamadkan sebarang keputusan untuk berkerjasama dengan parti lain.
“Bagaimanapun perbincangan awal memang ada dan kita akan putuskan pada masa yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka UMNO Sabah Zon 6 di Dewan Sri Perdana di sini, pada Isnin, sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hassan yang mengatakan sebarang keputusan BN Sabah berkerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17 akan datang akan diputuskan oleh BN Pusat.
Menurut Bung Moktar lagi, masih terlalu awal bagi BN Sabah menyatakan soal kerjasama dengan parti lain.
“Malah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini pernah menyebut soal kerjasama BN bersama parti lain bagi menghadapi PRN17 hanya akan ditentukan selepas DUN Sabah bubar,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan dalam soal memilih rakan gabungan dari parti lain UMNO dan BN Sabah perlu lebih teliti dan berhati-hati selain hanya ingin menjalin kerjsama dengan parti yang menghormati perjanjian antara satu sama lain.
Bung Moktar juga turut menolak kemungkinan parti mereka akan bekerjasama semula dengan gabungan sebelum ini.