KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengulangi pendirian beliau mengenai kerjasama antara gabungan itu dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Beliau menegaskan bahawa tidak akan berlaku pertindihan kerusi di antara kedua-dua gabungan tersebut, dan setiap gabungan akan menggunakan logo parti masing-masing.
“Formula yang sama kita akan gunakan (bagi pembahagian kerusi) dan kerjasama dengan lain-lain gabungan (seperti Gabungan Rakyat Sabah – GRS) akan kita lakukan,” katanya sebagaimana dilaporkan BERNAMA.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak akan menutup pintu perundingan, namun tidak juga membukanya terlalu luas.
Presiden UMNO, yang juga Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Pelaksanaan Projek Pembangunan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Sementara itu Ahmad Zahid mengingatkan bahawa sebarang kenyataan rasmi bagi pihak BN dan PH perlu dikeluarkan oleh ketua gabungan bukannya mana-mana pemimpin parti.
Katanya, sebarang kenyataan dari pemimpin lain hanyalah pendapat peribadi, dan bukan keputusan rasmi parti.