KOTA KINABALU: Adun Api-Api, Datuk Christina Liew diramalkan berdepan dengan cabaran besar untuk mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung September ini.
Beberapa nama besar, yang dikategorikan dalam kelas heavywight di arena politik Sabah dilaporkan sedang mengintai peluang untuk mencabar Pengerusi PKR Sabah itu di dun tersebut.
Pada PRU ke-14. berlaku pertandingan lima penjuru di dun berkenaan. Christina bagaimanapun menang selesa dengan memperoleh 8,174 undi, menewaskan pencabar terdekatnya Datuk Dr Yee Moh Chai dari PBS dengan majoriti 2,954 undi.
Yee, yang merupakan timbalan presiden PBS, dikhabarkan akan mencuba nasib sekali lagi di dun yang sama.
Dua nama besar lain yang disebut-sebut akan bertanding di situ ialah bekas ketua menteri Tan Sri Chong Kah Kiat dan naib presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Pang Nyuk Ming.
Borneo Today melaporkan Liew bagaimanapun tidak terkesan dengan cabaran itu.
“Ia memang satu cabaran, tetapi saya berasa terhormat kerana begitu ramai yang berminat dengan Dun Api-api,” katanya, yang juga timbalan ketua menteri Sabah.
“Mungkin mereka merasakan Api-Api adalah kerusi yang baik (untuk ditandingi), tetapi saya rasa mereka lupa bahawa ia telah menjadi kerusi campuran, bukan lagi kerusi Cina,” tambahnya.