PRN Melaka: Tindakan Tidak Wajar Yang Mengenepikan Kepentingan Rakyat – SSK

ssk.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Dalam keadaan negara sedang bergelut dalam perjuangan melawan Covid-19, sebarang  percubaan untuk mengadakan pilihan raya di Melaka akan menjadi satu ‘tindakan biadap secara terang-terangan’, kata Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak (SSK).

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia persekutuan itu berkata demikian susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semalam berikutan pengunduran empat ADUN daripada gabungan pimpinan Umno, sekaligus menghilangkan majoriti diperlukan untuk terus memerintah.

Salleh, dalam catatan di Facebook berkata, dengan rakyat masih bergelut menghadapi impak pandemik Covid-19, keperluan mereka perlu lebih diutamakan berbanding pergolakan politik.

“Etika politik menuntut kita mengetepikan perbezaan dan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara dalam situasi wabak ini. Sekiranya kita mahu membina kestabilan politik, pertelingkahan dalaman politik mesti dihentikan,” katanya.

“Berhubung situasi Melaka, sebarang percubaan untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) patut dianggap sebagai tindakan biadap secara terang-terangan terhadap usaha kita melawan Covid-19 dan memperjuangkan mata pencarian rakyat. Apa jua sebabnya, politik mesti maju, bukan mundur, pada waktu yang mencabar ini.”

Salleh berkata, tanggungjawab kini terletak pada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan sama ada untuk memenuhi keinginan segelintir ahli politik di Melaka mengadakan PRN atau “memberi tumpuan kepada keperluan rakyat”.

Salleh berkata, konflik politik yang berpanjangan ketika negara sedang dalam kecemasan hanya akan memberi imej negatif pada ahli politik.

“Apa yang akan kita ajarkan kepada pemimpin-pemimpin masa depan kita?” soalnya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top