PRN Johor: UMNO Sabah Akan Bantu Kempen Calon BN

bung-3.jpg

KOTA KINABALU, 22 Ogos -- Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO di sini hari ini. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jentera UMNO Sabah akan turun membantu bagi memastikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, biarpun belum memutuskan jumlah jentera yang akan turun namun, UMNO Sabah akan memainkan peranan membantu kemenangan calon-calon BN.

“Kita tengok dahulu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mana diberikan kepada BN Sabah dan kita jangka akan diberikan tiga kawasan DUN untuk dijaga.

“Tanggungjawab ini berat kerana pengundi di sana ramai dan pengundi muda pula akan mula mengundi.

“Ini satu cabaran yang berat untuk mengendali dan menemui anak-anak muda sebab mereka ini terdiri daripada remaja berusia 18 hingga 20 tahun. Kita belum pernah berjumpa dan berurusan dengan mereka,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Timbalan Ketua Menteri itu berkata, pada PRN Johor semua parti meramalkan mereka boleh menang sama ada BN mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Namun pada akhirnya, soal undi itu terserah kepada rakyat untuk menentukan masa depan mereka.

“Saya rasa rakyat sudah faham dan tahu kerana mereka telah melalui berbagai pemerintah dan sudah tentu mereka tahu kerajaan macam mana mereka mahukan,” katanya.

Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, jentera UMNO Sabah akan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan keselamatan kesihatan semua jentera.

Jelas beliau, berhubung lawatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah pada Februari ini, lawatan itu hanya untuk berjumpa dengan kepimpinan BN dan UMNO negeri dan merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). -UTUSAN ONLINE

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top