JOHOR BAHRU: Perdana Menteri dikatakan bersetuju ceramah untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor dilanjutkan sehingga 12 tengah malam berbanding 10 malam ketika ini, kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Katanya, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan Ismail Sabri Yaakob bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Selasa.
“Jam 2 petang tadi (Selasa) kami jumpa Perdana Menteri, dalam pertemuan itu, Guan Eng minta ceramah dilonggar sedikit SOP, saya kata kenapa sampai 10 malam sahaja, biarlah sampai 11 malam.
“Perdana Menteri kata, kalau ikut beliau, biar sampai 12 malam, saya cakap buatlah arahan, jangan cakap di sini.
“Saya kata apa beza Covid-19 jam 10 malam dengan Covid-19 jam 12 malam?” katanya semasa berucap dalam ceramah PH di Bilik Operasi Utama DUN Kota Iskandar di Taman Mutiara Rini, Skudai, malam tadi.
Turut hadir Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong, Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisya Abd Aziz dan calon PH bagi DUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Ismail akan membawa perkara itu untuk diputuskan mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini.
“Beliau kata tak apa, beliau akan beritahu dalam mesyuarat Kabinet Jumaat, tapi Jumaat lambat lagi, beliau sebagai Perdana Menteri boleh buat arahan, tapi arahan itu hanya baru dimaklum kepada kami, tapi menteri-menteri dan pegawai kerajaan belum dimaklum lagi.”
Berdasarkan SOP Suruhanjaya Pilihan Raya, penganjuran ceramah, syarahan atau kempen dalam PRN Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 hadirin dan setiap aktiviti hanya dibenarkan dua jam tidak melebihi 10 malam, manakala penganjuran di premis terbuka atau tempat umum tidak dibenarkan. – FMT