KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) atau sebaliknya.
Berita Harian dalam laporannya memetik Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai berkata, fokus gabungan itu ketika ini adalah untuk mewujud dan memperkasakan keserasian bersama BN dalam menerajui Kerajaan Perpaduan.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan untuk membincangkan potensi kerjasama antara PH dan BN bagi tujuan demikian bergantung kepada kesesuaian serta keperluan bagi tujuan itu.
“Namun, tumpuan utama PH adalah untuk menggerakkan Kerajaan Persekutuan bagi mendepani pelbagai isu berbangkit yang membelenggu masyarakat.
“Ketika ini perbincangan belum sampai ke situ (kerjasama dengan BN bagi menghadapi enam PRN) sama ada akan wujud kerjasama, persefahaman atau gabungan politik. Itu belum kita bincangkan lagi,” katanya.
Tambahnya, fokus kini adalah untuk mewujudkan keserasian Kerajaan Perpaduan, iaitu supaya kerajaan berfungsi dan dilihat kompak dan utuh.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sesi temu bual Naratif Khas bertajuk “Jaminan Keselamatan dan Perpaduan” terbitan Berita RTM di Angkasapuri.