PRN 17: Siapa ‘poster boy’ UMNO Sabah?

siapa.jpg
Kongsi Bersama

Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 semakin mendekat. Dan setiap parti tentunya telah berkira-kira dengan ‘poster boy’ masing-masing. GRS tentulah mengekalkan DSP Hajiji Haji Noor, PH Sabah mungkin memilih Pengerusi MPN parti PKR Datuk Mustapha Sakmud, manakala Datuk Seri Shafie Apdal pasti kekal ‘poster boy’ Warisan.

Bagaimana dengan UMNO/BN Sabah? Wajah siapa yang akan diletakkan sebagai ‘poster boy’?

Kalau tanya orang UMNO Sabah, mereka jarang beri reaksi. Mungkin tidak yakin Umno-BN berpeluang jadi KM setelah hilang jawatan KM pada PRN 15. Begitu juga orang UMNO Semenanjung. Malah ramai tidak ambil peduli. Tanggapan di atas kertas, UMNO Sabah tidak ada harapan jadi Ketua Menteri Sabah.

Alasannya begini. Hampir pasti UMNO/BN akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi menghadapi PRN17. Presiden UMNO sendiri telah menegaskan mengenai perkara itu. Walaupun PH Sabah agak berhati-hati mungkin kerana menjaga hati GRS namun hakikatnya ia hampir pasti tidak dapat mengelak daripada berganding dengan UMNO/BN Sabah kerana gandingan itu penting bagi jaminan dan cerminan status quo hubungan PH-BN dalam kerajaan Perpaduan.

Banyak kalangan dalam UMNO sendiri percaya jika gabungan itu berlaku dan BN-PH menang di Sabah, status quo yang sama akan dikekalkan dalam pengagihan jawatan. Jika di peringkat pusat dalam kerajaan perpaduan PH diberi kerusi perdana menteri dan UMNO kerusi timbalan, di Sabah juga begitu; PH jadi ketua menteri, UMNO cuma timbalan Ketua Menteri.

Jika pakatan BN-PH itu turut disertai oleh GRS pun, kebanyakan ahli UMNO percaya peluang mereka untuk menduduki kerusi ketua menteri hampir tidak ada. Kemungkinan besar kerusi itu akan kembali kepada GRS, yang diterajui oleh Hajiji. Atau jika Kerajaan Perpaduan mahu mengekalkan formulanya di Sabah, kerusi itu akan berpindah kepada PH, sebagaimana dinyatakan di atas.

Tetapi realitinya tidak begitu. Dari segi bacaan politik sekiranya berlaku kerjasama PH-BN+GRS, peluang UMNO meletakkan orangnya di atas kerusi ketua menteri terbuka luas. Sebabnya, berbanding PH dan GRS, peluang UMNO untuk muncul sebagai pemenang kerusi terbanyak adalah jauh lebih cerah.

Berdasarkan penelitian semasa parti PKR sukar memenangi lebih daripada 7 kerusi dalam PRN nanti kerana konsep parti berbilang kaumnya tidaklah begitu kena dengan selera orang Sabah. Rakan PKR dalam PH iaitu Amanah pula, awal-awal lagi boleh diramalkan akan menang 0 kerusi, manakala DAP tidak sukar untuk memperoleh 8 kerusi. Jadi jumlah kerusi PH dijangkakan 15 kerusi sahaja.

GRS pula, dengan bermacam-macam cerita kebelakangan ini hanya boleh mengharapkan sokongan daripada KDM melalui STAR dan PBS. Tetapi sayugia disebut, jika GRS bekerjasama dengan mana-mana parti Semenanjung, UMNO/BN terutamanya, ia berkemungkinan besar mengalami kemerosotan sokongan KDM kerana STAR, sebagai contoh, telah berkali-kali menampakkan kecondongan menolak kerjasama dengan parti nasional.

Tetapi apa pun GRS secara keseluruhan berpeluang mendapat lebih 15 kerusi. Lebih banyak kerusi daripada PH.

Bagaimana dengan UMNO? Penulis menjangkakan ia tidak mempunyai masalah untuk memenangi 17 hingga 21 kerusi. Tetapi ia bergantung kepada faktor kritikal—pemilihan ‘poster boy’ yang tepat.

Siapa?

Jawapan kepada soalan ini masih menjadi teka-teki. Dalam situasi di mana pengundi Sabah menuntut kepimpinan yang jelas dan kuat, UMNO/BN perlu memastikan individu yang diketengahkan sebagai poster boy mampu membawa keyakinan rakyat serta memimpin kemenangan dalam PRN ke-17.

Soalnya, adakah UMNO bersedia mengambil langkah yang betul dan berani dalam menentukan siapa pemimpin itu?

 

 

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top