PRK Pelangai: BN menang, majoriti berkurangan kepada 2,949

amizar-pelangai.jpg

BENTONG: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam (gambar) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu.

Begitu pun, Amizar menang dengan majoriti undi lebih rendah iaitu sebanyak 2,949 berbanding 4,048 undi yang dimenangi penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

Menerusi saingan tiga penjuru, Amizar memperolehi 7,324 undi.

Sementara dua lagi pencabarnya, calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat mendapat 4,375 undi dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli hanya memperoleh 47 undi, sekali gus hilang deposit.

Keputusan rasmi PRK DUN Pelangai diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mohammad Shahid memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah 72.12 peratus.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu selepas Johari meninggal dunia kerana terlibat dalam nahas pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam di Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lepas, Johari yang mewakili BN meraih 7,308 undi dan menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi, calon Pakatan Harapan (PH) Ahmed Wafiuddin Shamsuri (2,031 undi) dan calon Pejuang Isa Ahmad (65 undi).

 

Sumber: AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top