PRK Bugaya Wajar Diadakan Serentak Dengan PRU15 – Shafie

shafie.jpg

Gambar fail

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya wajar diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelaksanaan serentak itu wajar dilakukan susulan pembatalan proklamasi darurat di Parlimen Batu Sapi dan DUN Bugaya yang diumumkan Yang di-Pertuan Agong pada 6 Oktober lalu.

Beliau berkata, sekiranya pelaksanaan PRK Bugaya itu diadakan serentak maka, langkah penjimatan dapat dilakukan oleh kerajaan.

“Namun, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana saya tak nak tekan bagi mengadakan pilihan raya.

“Walau bagaimanapun, kita sentiasa bersedia pada bila-bila masa. Sekiranya ia diadakan serentak itu lebih baik untuk mengurangkan perbelanjaan. Sudahlah kerajaan berhutang takkan kita mahu adakan PRK Batu Sapi kemudian, PRK Bugaya dan lepas itu PRU pula.

“Kita kena kurangkan perbelanjaan negara dan kita sudah bersedia. Malah, calon pun kita sudah kenal pasti beberapa orang yang sesuai kita akan letakkan (di Bugaya) dan di Parlimen Batu Sapi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kesiapsiagaan Warisan sudah ada namun, mereka hanya menunggu pengumuman daripada SPR sahaja.

Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan PRK DUN Bugaya ditangguhkan susulan pandemik Covid-19 maka, mereka tidak mendesak kerajaan untuk segerakan pelaksanaan PRK tersebut.

Menurut beliau, biarpun Warisan kehilangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun, bukan tambahan jumlah kerusi yang perlu diberi perhatian tetapi, perbelanjaan negara dan kesihatan rakyat di peringkat akar umbi.

Mohd Shafie yang juga ADUN Senallang itu berkata, apabila proklamasi darurat di DUN Bugaya dibatalkan bermakna pilihan raya perlu diadakan mengikut perlembagaan iaitu dalam tempoh 60 hari.

Pada tahun lalu, proklamasi darurat iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2020 dikuatkuasakan di dua Parlimen dan DUN berkenaan berikutan penularan jangkitan Covid-19.

PRK Bugaya diisytiharkan kosong pada 17 November 2020 susulan penyandangnya, Manis Muka Mohd Darah, 65, meninggal dunia di Hospital Gleaneagles Kota Kinabalu akibat masalah buah pinggang.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top