PRK Batu Sapi: Parti Sabah Boleh Kempen Sendiri Tanpa Rakan Dari Semenanjung

batu-sapi-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun percaya parti-parti politik di Sabah boleh berkempen sendiri tanpa bantuan rakan dari Semenanjung pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi bulan depan.

Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 negeri berkata, mereka sudah belajar daripada pilihan raya negeri dua bulan lalu, tetapi beliau tidak menyatakan kerajaan negeri akan mencadangkan larangan perjalanan terhadap pemimpin politik dari Semenanjung memasuki Sabah.

Beliau berkata, Sabah tidak boleh mengenakan sebarang larangan perjalanan terhadap pengundi Batu Sapi yang bermastautin di Semenanjung yang mahu pulang untuk mengundi kerana ia adalah hak mereka.

“Bagaimanapun, ia mengundang persoalan sama ada terdapat keperluan bagi rakyat di Malaysia Barat memasuki negeri ini semasa tempoh kempen.

“Jika kita belajar daripada pilihan raya negeri baru-baru ini, jelas ada keperluan untuk lebih berdisiplin,” katanya semalam.

Beliau berkata, jika terdapat pertandingan bagi kerusi Batu Sapi dan aktiviti kempen diperlukan, maka rakyat Sabah boleh melakukannya sendiri “dalam apa saja cara yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).”

“Ia mengambil kira Sandakan (di mana Batu Sapi terletak) merupakan salah satu kawasan di Sabah yang masih dianggap sebagai dalam zon merah dan saya rasa semua orang mesti ingat perkara ini,” katanya.

Masidi berkata demikian sebagai respons kepada persoalan tentang bagaimana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 6 Disember di Sabah akan mempengaruhi PRK Batu Sapi, yang akan diadakan sehari sebelumnya.

Beliau mengingatkan, terdapat 450 kes Covid-19 di Semenanjung disebabkan individu yang pulang dari Sabah susulan pilihan raya negeri.

“Saya rasa ia pengajaran berguna untuk kita renungkan. Jadi, bodoh bagi kita jika mengulangi kesilapan yang sama.

“Bagaimanapun, saya akan serah kepada pihak berkuasa yang berkaitan (membuat keputusan) untuk menentukan sama ada larangan (perjalanan) itu harus dilaksanakan atas alasan munasabah, iaitu membendung penularan wabak,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top