KOTA KINABALU: Proses pelaksanaan Fasa 2 Jalinan Digital Negara (JENDELA) dijangka bermula tahun depan namun prestasi kontraktor pelaksana dalam hasa pertama di Sabah masih belum memuaskan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Justeru, beliau mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri (MOSTI) untuk memantau rapi pembinaan menara telekomunikasi di bawah fasa pertama projek JENDELA di Sabah.
“Kementerian MOSTI negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mesti memastikan kerja-kerja disiapkan mengikut jadual.
“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya tiada penambahbaikan dalam prestasi kontraktor projek ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatan kerja ke MOSTI negeri di Wisma Bandaraya di sini pada Isnin.
Dalam lawatan tersebut, Hajiji telah dimaklumkan oleh pihak MCMC bahawa hanya 217 daripada 382 menara atau 57 peratus di bawah fasa pertama Projek JENDELA telah siap dibina di Sabah.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.