Presma Jelaskan Sebab Makanan Di Restoran Mahal

restoran.jpg

Gambar sekadar hiasan

Kongsi Bersama

SHAH ALAM: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memberitahu tiada harga makanan di restoran diturunkan buat masa ini susulan kenaikan kos yang perlu ditanggung pengusaha antaranya kenaikan sewa dan barang keperluan asas.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tiada ruang untuk peniaga menurunkan harga kerana kenaikan itu adalah mengikut peningkatan kos operasi semasa seperti kenaikan sewa kedai, barang keperluan asas dan bahan mentah.

“Sebenarnya tak ada harga barangan yang turun, sebagai contoh telur, ayam dan sayuran yang masih kekal dengan harganya yang naik selepas pandemik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, kerajaan perlu membantu pemilik restoran dan kedai makan bagi mendapatkan bahan mentah dengan harga yang lebih murah.

“Menteri perlu lebih prihatin untuk bantu golongan peniaga restoran untuk dapatkan bekalan harga yang berpatutan dan rendah dengan berbincang dengan pembekal serta pemborong bagi mengatasi masalah tersebut,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata restoran yang berdaftar dengan persatuan itu masih mengekalkan konsep memberi makanan yang bersih, sedap dan harga berpatutan terutama kepada golongan B40 dan M40.

Dalam pada itu, Jawahar menyerahkan kepada pengguna untuk membuat pilihan sama ada mahu mengunjungi restoran dan kedai makan yang menjual pada harga tinggi.

Kata beliau, pelanggan mempunyai hak untuk memilih restoran yang menawarkan harga lebih murah dengan membuat perbandingan harga.

“Sebenarnya pelanggan ada hak untuk mengelak daripada mengunjungi premis yang gagal menurunkan harga.

“Jadilah pelanggan yang bijak di mana kalau kita rasa restoran itu menjual pada harga mahal, maka pelanggan boleh memilih sama ada makan di situ atau pergi ke restoran lain yang menawarkan harga lebih murah,” katanya. –Sinar Harian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top