PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick dan Presiden Pertubuhan Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup menyatakan komitmen mereka untuk tenaga dalam membangunkan Sabah melalui kepimpinan di kementerian masing-masing.
Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Arthur yang merupakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai perkara itu.
“Ini adalah susulan perbincangan kami, dan tawaran kepimpinan proaktif dua anak muda Sabah yang berada dalam Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat Sabah melalui kementerian masing-masing. Kepimpinan seperti ini akan kami teruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian MyIS Komuniti Projek Pertanian Moden bersama Komuniti Daerah Penampang yang dirasmikan oleh Arthur di Wisma IDS di sini, semalam.
Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata beliau turut menyokong usaha untuk bekerjasama dengan Ewon dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Sabah.
“Ewon telah berkunjung ke Parlimen Pensiangan dengan membawa agensi-agensi kementerian beliau. Giliran saya pula hari ini membawa agensi MOSTI iaitu Yayasan Inovasi Malaysia bagi pelaksanaan projek pertanian moden di Penampang melibatkan peruntukan RM206,000,” katanya.
Kedua-dua presiden parti itu juga turut bersetuju menganjurkan program bersama melibatkan Majlis Tertinggi dan Exco Pergerakan kedua-dua parti itu pada bulan Oktober ini.
UPKO adalah parti komponen Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah selepas menyertai gabungan itu pada Ogos 2021, manakala PBRS dalah antara parti komponen BN bersama UMNO, MCA dan MIC. – BERNAMA