Dalam satu hantaran di laman Facebooknya semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendedahkan bagaimana bekas Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng ‘terduduk’ selepas Menteri Kewangan sekarang, Dato’ Sri Tengku Zafrul Aziz mendedahkan bahawa sepanjang pemerintahan PH, sebanyak 101 projek perolehan berjumlah RM6.61bilion telah ditawarkan oleh Kerajaan PH secara ‘direct-nego’ (rundingan terus)!
Hantaran itu mendapat ‘sambutan hangat’ daripada netizen yang rata-ratanya mengecam tindakan Guan Eng dan PH itu. Sehingga artikel ini ditulis ia telah menerima 21,000 likes, dikongsi lebih 9,300 kali dan mendapat lebih 7,300 komen.
Dalam hantaran itu, Wee turut mendedahkan Lim Guan Eng akhirnya mengakui bahawa semua tender yang ditawarkan melalui rundingan terus diluluskan oleh Kabinet era pemerintahan PH.
“(Tetapi)Menteri Kanan MITI, Dato’ Seri Azmin Ali terus bangun dan mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa ianya tidak pernah dibincangkan di Kabinet!,” tulisnya.
Tambah beliau, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, juga bangun untuk mengesahkan dakwaan Azmin.
“Apa sudah jadi? Bukankah Lim Guan Eng selama ini sering sebut PH hanya mengamalkan “tender terbuka”? Malah ianya termaktub di dalam manifesto (bukan kitab suci) – Buku Harapan!” soal Wee, yang juga Menteri Pengangkutan.
Menyifatkan perkara itu sesuatu yang amat mengejutkan seluruh rakyat Malaysia, Wee menutup hantaranya dengan bertanya, “Kalau Kabinet tidak meluluskan tender rundingan terus, agaknya siapa pula yang begitu berkuasa menawarkan tender secara rundingan terus ini?”