BEAUFORT: Presiden Persatuan Bisaya Sabah (PBBS) yang baharu, Haji Ruslan Muharam mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pemilihan kepimpinan persatuan yang baharu.
Beliau memuji sikap semua ahli PBBS yang mementingkan perpaduan dan berterima kasih dengan Datuk Isnin Aliasnih atas keputusannya menarik diri daripada bertanding untuk jawatan presiden demi kepentingan persatuan.
Katanya, beliau menghargai sokongan yang ditunjukkan oleh Isnin yang menyumbangkan wang sebanyak RM5,000 untuk digunakan sempena pemilihan kepimpinan yang baharu dan meluluskan peruntukkan untuk pembuatan gelanggang gasing sebanyak RM20,000.
“Kita akan sentiasa bekerjasama memperjuangkan PBBS dan ini sudah lama dipraktikkan”, tambah Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan.
Ruslan juga berharap agar kepimpinan baharu bersedia menjalankan tanggungjawab masing-masing yang diamanahkan oleh perwakilan.
Sesuai dengan halatuju yang disenaraikan oleh Ruslan, beliau berjanji akan membangunkan bangunan PBBS yang ada untuk dijadikan sebagai perkampungan budaya.
“Kita akan menjadikan bangunan PBBS dan kawasan seluas enam ekar untuk dijadikan kawasan tumpuan masyarakat Bisaya juga kepada pelancong dalam negeri dan luar negara seperti mana bangunan-bangunan etnik yang wujud di negeri ini, iaitu Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Hongkod Koisaan di Penampang bagi masyarakat Kadazandusun serta Pusat Kebudayaan Murut di Tenom bagi etnik Murut.
Ruslan dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dalam mesyuarat agung tahunan perwakilan tahunan kali ke-29 bagi sesi 2021-2024 di Bangunan Kebudayaan dan Kesenian Bisaya, di sini, kelmarin.
Ruslan yang sebelum ini adalah Pemangku Presiden persatuan itu diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin Aliasnih menarik diri pada saat akhir.
Abdullah Okin pula menang untuk jawatan Timbalan Presiden selepas menewaskan pencabarnya, Jais Asri dan Awang Anak Abdul Sani.
Kerusi Naib Presiden dimenangi oleh Timbalan Ketua Umno Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, Mohd Azman Lajim, Jaludin Kadir, Ahmad Barawi Mokhtar dan Mohd Said Awang Damit.
Sebanyak 16 orang calon turut menawarkan diri merebut jawatan Naib Presiden persatuan itu bagi penggal kali ini.
Kemenangan calon-calon yang bertanding telah diumumkan pengerusi jawatankuasa pemilihan, Prof. Dr. Hajah Siti Aida Lukin semalam.
Sementara itu, seramai 94 orang calon dari seluruh negeri turut menawarkan diri bertanding bagi merebut 25 kerusi Ahli Majlis Tertinggi (AMT).
Mereka yang terpilih sebagai AMT dalam pemilihan kali ini ialah Hajah Siti Karukut Sulimin, Mohd. Ainol DSP Mohd. Dun, Shahron @ Omar Osin, Amatiasin Saruji, Banyamin @ Yunus Atin, Jalipeh @Jalipah Dineh, Abdul Sani Mokjin, Mat Silin Matnih, Mohd. Idris Abdul Kahar, Maimunah Etam, Mohd. Syawal Abd. Sanon, Sulaiman Joal, Saudi Suhaili, Rambang Mohamad, Dulimin Ajak, Raidah Ajid, Abd. Rahman Osman, Karji Juriman, Jislim Latip, Matlan Jedeh, Matjini Kimbi, Nurzakilah Ruslan, Anjam Acho, Amit Basrin dan Abdunglah Kimlin.
Dalam ucapan penggulungan, Ruslan telah mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung, Benjamin Ismail Atin dan Bendahari Agung, Wahab Taip.
Ruslan sebelum ini adalah pemangku presiden PBBS selepas presidennya, almarhum Datuk Seri Panglima Lajim Ukin meninggal dunia pada Ogos lalu.
Pemilihan untuk tempoh tiga tahun sehingga 2024 pada kali ini menyaksikan lebih 80 peratus adalah terdiri muka baharu.
Seramai 1,211 perwakilan dari 278 cawangan PBBS di seluruh Sabah menghadiri mesyuarat kali ke-29 itu.